minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Keseimbangan Politik, Pembaharuan & Toleransi – Bab 1


Saudara,

Saya terpanggil untuk memberikan serba-sedikit komen yang saya fikir untuk kebaikan semua pihak. Saya telah melayari beberapa laman web, samada Pro Reformasi ataupun Pro UMNO. Tidak dilupakan juga Malaysiakini yang sentiasa menyiarkan surat-surat pembaca yang bolehlah dikategorikan sebagai ‘Liberal’. Ada surat yang terang-terang menyokong pembaharuan dan ada juga yang masih lagi dengan fahaman perkauman, tidak kiralah samada mereka yang berbangsa Melayu, Cina India. Semuanya dengan hujah masing-masing, menerangkan hasrat hati dan ketidakpuasan dengan dasar kerajaan selama ini. Ada yang mengatakan mereka adalah tuan di negara sendiri, ada yang menyatakan bahawa mereka adalah second-class citizen dan ada yang mengambil jalan berdiri di atas pagar dan menyeru supaya kajian yang lebih mendalam dijalankan sebelum sesuatu perkara dilaksanakan. Ada yang merapu dengan penuh emosi memutarbelitkan fakta sejarah seperti jika Laksmana Cheng-Ho  tiada sudah tentu Melaka dilanyak oleh Siam, sedangkan umum mengetahui bahawa Laksmana Cheng-Ho hadir sebagai tanda persahabatan di antara Kerajaan Melaka dan China secara tidak langsung perjanjian ketenteraan dan perlindungan juga dimeterai. Di bawah ini saya nyatakan beberapa pendapat hasil daripada pembacaan surat-surat pembaca dan juga artikel dari website yang terlibat. Saya memohon agar dapatlah kiranya rakan-rakan memberikan maklumbalas kepada saya melalui email lecturer_muda@hotmail.com.

Suqiu

Keseluruhan tuntutannya memang baik demi kesamarataan dan juga ke arah Malaysia yang gemilang. Di samping itu juga mereka menyatakan rasa kecintaan mereka terhadap bangsa, bahasa dan budaya mereka dan menyeru kerajaan menjaga kepentingan mereka. Manakala di dalam artikel lain rayuan mereka adalah menghapuskan perbezaan di antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera serta memberikan hak sama-rata di dalam kemasukan ke Universiti dan lain-lain bidang lagi.  Silapnya mereka di sini adalah kerana, mereka mengeluarkan tuntutan mereka di saat Pilihanraya dan sememangnya komuniti cina memang terkenal dengan rayuan-rayuan kepada pihak pemerintah walaupun dengan cara yang tersembunyi samada melalui parti politik mereka atau lain-lain pertubuhan ketika saat-saat hampir pilihanraya.

Kesilapan seterusnya adalah mereka menggubal rayuan mereka yang sedikit sebanyak menyentuh mengenai kaum lain tanpa melibatkan persatuan ataupun badan-badan yang mewakili kaum yang terlibat. Inilah yang telah menyebabkan ia seolah-olah kelihatan seperti satu rayuan yang berbentuk perkauman, walaupun yang terlihat agak ‘perkauman’ mungkin terdapat pada sebahagian kecil artikel mereka dan ini telah menyebabkan ia dimanipulasikan oleh UMNO dan GPMS. Mereka juga kurang memberikan penekanan mengenai MEDIUM yang perlu digunakan untuk perpaduan kaum. Sikap mereka terhadap MEDIUM yang sedia ada juga seperti perpaduan melalui Bahasa Rasmi yang perlu dikembangkan dalam segenap aspek perlu dijelaskan dengan sedalam-dalamnya. Kebebasan agama juga perlu di nyatakan sebagai spesifik. Adakah mereka yang telah dewasa boleh mengikut apa sahaja agama yang dipilih tanpa mengira mereka itu orang Islam ? Sudahlah UMNO tidak mengendahkan masalah murtad yang menimpa umat Islam, jikalau diberikan kebebasan yang amat bebas ini bermakna orang Islam akan bebas menukar agama mereka seperti menukar baju. Walau apa pun yang ingin dirayukan, Suqiu haruslah membuka ruang untuk penerangan dan perbahasan melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan oleh BA. Ini adalah kerana Media Pro Kerajaan tidak boleh diharapkan dan dengan begitu sewenang-wenangnya menyerang kaum Cina  dan memainkan isu perkauman dengan begitu dahsyat sekali.

Melalui ceramah yang dianjurkan, bolehlah Suqiu menjelaskan bab-bab yang dikatakan menyentuh hak kaum lain dan seterusnya meleraikan segala kekusutan yang ada. Kerana tidak semua ahli di dalam BA (majority Melayu ) yang menyokong tindakan Suqiu ( Kadang-kadang termakan juga umpanan media UMNO- Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan ). Dan pastikan ucapan di dalam Bahasa Malaysia supaya tidak dikatakan sebagai penerangan untuk kaum tertentu sahaja seperti ceramah wakil DJZ ketika kempen di Lunas. Semua kaum mempunyai hak untuk mengetahui apa isi hati mereka yang sebenarnya.


UMNO-GPMS

Puak yang kurang berfikir dan cepat mengambil peluang di atas isu yang sensasi. Mereka sepatutnya memainkan peranan di dalam meleraikan kekusutan yang timbul dan bukannya menangguk di air keruh. Jika mereka tidak bersetuju di atas sesuatu bab atau artikel rayuan Suqiu, janganlah ditolak perkara lain yang difikirkan wajar dan baik dilaksanakan di negara ini. Mereka perlulah mengambil langkah berbincang dan menerangkan dengan cara yang berhikmah mengenai ketidakpuasan mereka itu. Adalah difahami bahawa tindakan menggila mereka adalah disebabkan oleh takut akan kehilangan sokongan dikalangan kaum Melayu dan Bumiputra. Mereka perlu melihat ke dalam diri mereka sendiri, di mana selama ini hak-hak yang ada telah dikhianati oleh kepimpinan mereka. Sebagai contoh, Tanah Rizab Melayu hilang tanpa gantinya, Biasiswa ditukar kepada Pinjaman, murtad  dan lain-lain lagi. Sepatutnya mereka melihat secara lebih mendalam mengapa Melayu tidak lagi menyokong mereka, bukannya dengan mencari kambing untuk dihitamkan. Bermain dengan isu perkauman amat berbahaya walaupun didakwa oleh UMNO-GPMS Suqiu yang bermain sentimen tersebut dahulu. Puak UMNO ini juga perlu belajar menerima kritikan dan jikalau sebaliknya, mereka perlulah berfikir untuk meletakkan jawatan sebelum mereka pupus ditelan zaman.

Untuk PAS & Keadilan

Majoriti ahli anda adalah Melayu. Jangan dibiarkan mereka memendam rasa dan prejudis ke atas rakan bukan Melayu di dalam BA dengan apa yang sedang berlaku di dalam negara. Satu kenyataan bersama perlulah dikeluarkan walaupun mungkin difahami demi meraih undi kaum Cina, perlu diingat undi Melayu, undi India juga amat penting demi survival parti-parti politik di Malaysia. Begitu juga dengan mereka yang di ATAS PAGAR. Justeru itu isu ini tidak boleh tidak mesti ditangani dengan segera. Mungkin bagi pemimpin-pemimpin BA sudah memahami ini semua merupakan permainan UMNO, tetapi di satu pihak yang lain pula perlu  satu langkah yang kolektif bagi menangani ketidaktentuan yang seolah-olah nampak seperti menyebelahi sesuatu pihak.

Secara ikhlas, masih ada di kalangan Melayu yang takut menjadi seperti saudara mereka di Singapura jika meritokrasi di amalkan di sini. Banyak peristiwa yang menyayat hati di mana kerajaan di sana tidak menghormati hak kaum lain seperti yang telah berlaku kepada keturunan Sultan di Istana Kampung Gelam ( maaf jika silap ). Sedangkan, itulah satu-satunya harta dan lambang bekas kesultanan  (budaya) yang tinggal. Memang tidak adil bagi kita menuding jari terhadap Singapura, kerana realiti masyarakat mereka memang berbeza dengan masyarakat di sini, tetapi rasa fobia golongan inilah yang patut dikaji. Mengapa ? dan apakah langkah atau pun ‘solution’ yang perlu dilakukan ?. Kita mempunyai ramai tokoh-tokoh akademik, budayawan, politik, sosial untuk memikirkannya. Bagi golongan ini, mereka juga ada rasa sayang  dan cinta terhadap bangsa, bahasa dan budaya mereka sama seperti kaum yang lain juga. Saya pasti, jika diberikan penerangan yang mencukupi, masalah ini akan selesai dan setiap kaum akan dilayan dengan adil dan sama rata. Bukankah Melayu terkenal dengan sikap mudah mesra, bertolak-ansur, dan penyabar. Pasti boleh menerima hakikat yang mereka hidup bersama-sama kaum yang lain. Hidup saling membantu dan bersedia mempertahankan tanahair yang tercinta ini.


Sebagai penutup, Yang Dipertuan Agong perlu berbuat sesuatu untuk menghentikan tuduh-menuduh yang diapi-apikan oleh akhbar-akhbar penjilat kerana ditakuti akan dijadikan alasan oleh UMNO untuk meMAGERANkan negara kita ini supaya survival politik ‘orang tertentu’ akan berterusan. YDP Agong adalah lambang penyatuan rakyat. Gunakanlah sisa kuasa yang masih tinggal sebelum rakyat sendiri  menggunakan kuasa mereka untuk menuntut keadilan.


Sekian,


Lecturer Muda - UM
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter